Pengikut

Jumaat, 14 November 2014

Menaikkan Harga Perkhidmatan

Saya telah lama memikirkan untuk menaikkan harga perkhidmatan di Dobi F2. Ini disebabkan semua barang keperluan untuk perkhidmatan dobi ini telah naik, termasuklah bil api, bil air, gas, dan juga barang pakai habis seperti sabun mencuci dan lain-lain. Cubaan pertama untuk menaikkan caj perkhidmatan ini adalah pada awal tahun 2013. Akan tetapi saya telah kembalikan semula kepada harga asal, kerana pelanggan tetap kami bising dan tidak mahu terima caj perkhidmatan yang baru ini. Saya telah menaikkkan harga perkhidmatan menggosok dari RM1.20 ke RM1.50. Manakala caj untuk cucian normal telah dinakkan dari RM2.50 ke RM2.80. Apabila ramai pelanggan yang bising dan tidak mahu terima harga baru ini, walaupun telah diterangkan sebab yang munasabah untuk menaiikan caj ini, saya terpaksa akur dan kembalikan semula kepada harga asal.

Walaubagaimanapun, saya tetap menerima kesan negatif dengan mengembalikan semula caj perkhidmatan kepada harga asal. Keuntungan yang saya dapat semakin berkurangan dan agak tidak setimpal, kerana saya perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk membayar bil api, bil, air dan juga barangan lain.

Tahun ini, sekali lagi harga minyak naik. TNB juga akan menaikkan tarif elektrik tak lama lagi. dan sedah pasti semuanya yang lain akan naik juga. saya menjadi semakin runsing. Saya pun cuba hubungi salah seorang pengusaha dobi yang saya kenal, yang pernah saya jumpa dan borak-borak  serta minta khidmat nasihat dan pendapat sebelum memulakan perkhidmatan dobi ini. Rupa-rupanya, kenalan ini telah lama menaikkan caj perkhidmatannya. Setakat ini dia telah menaikkan caj perkhidmatannya sebanyak 2 kali. Caj untuk basuhan normal telah dinaikkan dari RM2.30 ke RM2.50, dan sekarang ini RM2.80. Manakala untuk perkhidmatan menggosok telah dinaikkan dari RM1.20, ke RM1.50 dan sekarang ini caj perkhidmatannya ialah RM1.80. Perkhidmatan-perkhidmatan lain semuanya juga telah dinaikkan harganya, termasuklah basuhan toto dan juga 'dry cleaning'.

Kenalan ini memberitahu saya, adalah amat tak berpatutan, sekiranya semua perkara lain telah dinaikkan harganya, sedangkan caj perkhidmatan kita tidak dinaikkan, Kecualilah sekiranya perkara lain yang dinaikkan itu tidak melibatkan perkhidmatan dobi. Akan tetapi semua perkara itu sangat melibatkan perkhidmatan dobi, terutama sekali bil api, bil air, dan gas. Saya tanya beliau tentang respon pelanggan, beliau memberitahu, memang pada awalnya pelanggan bising, dan tak jadi hantar kepada beliau kerana caj dinaikkan. Akan tetapi ramai pelanggan yang datang kembali. Dan apabila ditanya mengapa, mereka memberikan dua alasan:-
1. Kedai dobi lain lagi mahal, atau
2. dobi akak, walaupun lagi mahal, tapi servis lagi bagus. Baju wangi. kotor kat kolar baju semua hilang.

Jadi saya pun buat kesimpulan, bahawa caj perkhidmtan yang kita letak, mestilah setimpal dan berpatutan dengan  perkhidmatan  yang kita tawarkan. Saya juga takut untuk menaikkan caj perkhidmatan, kerana dobi di sekitar kawasan saya ada yang harganya lagi rendah. Kenalan yang saya hubungi memberitahu saya, takpe, kalau kita rasa kita perlu naikkan harga, kita naikkan sahaja. Dan kita berilah perkhidmatan yang baik. InsyaAllah pelanggan akan datang cari kita. Kita perlu bersaing dengan memberikan perkhidmatan yang baik, bukan bersaing dengan meletakkan harga yang rendah. Kadang-kadang ada dobi meletakkan caj perkhidmatan yang rendah kerana sewa kedainya murah. Kalau kita yang sewa kedai mahal, letak harga yang rendah juga, tak berbaloi langsung untuk kita. Dan ada juga dobi yang meletakkan harga rendah, akan tetapi servisnya juga kurang baik. Dobi itu tidak melakukan 'pre wash', mengurangkan kuantiti sabun, tidak menambah pelembut dan juga pewangi dalam cuciannye. Sebab itulah cuciannya murah.

Setelah mendengar nasihat dari kenalan ini, saya pun nekad untuk menaikkan harga servis di Dobi F2. InshaAllah Januari2015. Semoga dimurahkan rezeki Dobi F2.

Khamis, 13 November 2014

Modal yang diperlukan untuk Memulakan Perniagaan Dobi (Part 1)

Bercerita tentang modal yang diperlukan untuk membuka dobi ini, sebenanrnya bergantung kepada besar mana perniagaan yang kita nak buat. Kalau besar perniagaan yang kita nak buat, besarlah modalnya. Kalau kecil perniagaan yang kita nak buat, kecil sahajalah modalnya.  Sebellum meneruskan tentang modal ini, saya akan menyenaraikan terlebih dahulu perkara atau mesis asas yang perlu ada di dalam sebuah kedai dobi. Mesin-mesin  tersebut ialah:-

1. Mesin basuh automatik- sama ada indutrial atau komersial
2. Mesin basuh semi automatik- komersial
3. Mesin pengering atau dryer- industrial atau automatik (dicadangkan mesin pengering industrial kerana jimat penggunaaan elektrik)
4. Seterika dan papan menggosok/ ironing board - industrial atau komersial, dan digalakkan seterika industrial kerana menggosok dengan lebih baik.

Perkara lain yang perlu ada tetapi tidak wajib:-
1. mesin basuh untuk dry cleaning- sama ada mesin 'dry clean', 'aqua wash' atau 'air wash'.-Ini sekiranya ingin menambah perkhidmatan 'dry clean' di dobi anda.
2. Mesin basuh karpet.


Aksesori-aksesori wajib:-
1. Tempat menyidai toto
2. Penyangkut baju/hanger
3. Rak menyimpan baju yang telah dibungkus
4. Tempat menyangkut baju dry clean yang telah siap dan juga baju yang telah digosok
5. Papan tanda @ signboard dobi
6. meja kaunter
7. Mesin penimbang dan kalkulator
8. Buku resit, pen, dan marker
9. Bakul letak pakaian kotor
10. Plastik membungkus pakaian dan toto
11. penyembur pewangi pakaian
12. berus gosok baju dan juga berus gigi lembut(untuk menggosok kolar baju)


Aksesori-aksesori pilihan:-
1. meja melipat
2. klip baju
3. tagging gun, kertas tagging, dan pen tagging

Bahan pakai buang:-
1. sabun basuh serbuk dan sabuh basuh cecair
2. pelembut pakaian
3. Lotion pewangi
4. Sabun dan pelembut dry clean (sekiranya ada perkhidmatan dry clean)
5. Kanji untuk menggosok
6. Kolar spray

Sampai sini dahulu. Saya akan ceritakan tentang modal sebenar yang diperlukan di entri (part 2 ) nanti.





Selasa, 11 November 2014

Kursus Dobi Anjuran F2 Laundromate

Kursus dobi anjuran F2 Laundromate akan dijalankan secara berkumpulan atau persendirian, mengikut keselesaan para peserta. Kursus ini juga merupakan kursus yang lebih kepada praktikal perkhidmatan yang dijalankan di kedai dobi. Kursus ini berlangsung sepanjang tahun. Kami akan tunjuk ajar peserta sehingga peserta betul-betul mahir untuk menjalankan perniagaan dobi. Untuk maklumat lanjut mengenai kursus ini, bolehlah hubungi:-

En Fathil: 012-7917235
Puan Fatimah: 019-7452571

atau Email kami: fatimah.rahiman@gmail.com

Sekian, Terima Kasih.

Jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh F2 Laundroamte

Berikut disenaraikan jenis-jenis perkhidmatan yang dijalankan di dobi F2 (F2 Laundromate)

1. Cucian biasa/cucian normal-basuhan menggunakan mesin basuh biasa. Kemudian akan dikeringkan menggunakan mesin pengering@dryer. Kemudian dilipat dan dibungkus ke dalam plastik.

2. Cuacian kering@ dry cleaning menggunakan mesin aqua wash-Pakaian yang dihantar akan di 'pre wash' terlebih dahulu sekiranya ada kotoran. Jika tiada akan dibasuh menggunakan mesin aqua wash. disidai sehingga kering. kemudian akan digosok dan digantung di penyangkut baju@ hanger, dan dibungkus menggunakan plastik lutsinar.

3. Cucian toto- toto akan dibasuh dengan mesin basuh biasa, disidai sehingga kering, kemudia dimasukkan ke dalam mesin pengering@ dryer selama 5-10 minit. kemudian dilipat dan dibungkus.

4. Cucian karpet- Karpet akan di cuci menggunakan mesin cuci karpet Karcher. Kemudian dikeringkan, dilipat, dan dibungkus.

5. Menggosok sahaja-Pakaian yang telah dicuci dan dikeringkan oleh pelanggan akan digosok dan dilipat atau digantungkan ke penyakut baju mengikut permintaan pelanggan.

6. Mengering shaja- Pakaian yang telah dicuci oleh pelanggan akan dikeringkan menggunakan mesin pengering@dryer, kemudian dilipat dan dibungkus.

7. Cucian tangan- pakaian peanggan akan dicuci tangan, kemudian dikeringkan secara manual atau menggunakan mesin pengering, mengikut permintaan pelanggan. Kemudia akan dilipat atau dogosok mengikut permintaan pelanggan juga, dan akan dibungkus.

8. Cuci kasut- kasut akan dicuci dengan cucian tangan, dikeringkan secara manual, dan dibungkus.

9. Cucian beg dan toys(anak patung)- beg dan 'toys' akan dicuci menggunakan cucian tangan, mesin biasa, atau 'dry cleaning' mengikut permintaan pelanggan.

Buat masa ini, itu sahaja perkhidmatan yang ditawarkan di Kedai Dobi F2.

Sehingga berjumpa lagi.:)


Cabaran dalam perniagaan dobi (Part 1)

Sepanjang 2 tahun 6 bulan menjalankan perniagaan dobi ini, pada saya, cabaran utama adalah untuk  mencari PEKERJA  dobi. Adalah sangat sukar, untuk mendapatkan seorang pekerja yang bagus untuk perniagaan dobi, terutama sekali pekerja tempatan atau warganegara Malaysia. Ini kerana, pekerja tempatan amat memilih kerja. Mereka lebih suka kerja-kerja yang mudah dan senang seperti kerja-kerja yang hanya perlukan mereka duduk sahaja di kaunter. 

Ini merupakan pengalaman peribadi saya, dimana pernah ada orang tempatan yang datang minta kerja kat dobi, dan memberitahu yang dia tidak mahu kerja di dalam dan membasuh atau menggosok pakaian, dia hanya mahu jaga di kaunter. Adalah tidak logik permintaan itu, kerana di kaunter dobi, tida ada banyak kerja, kecuali mengambil dan memulangkan pakaian. Kerja utama di dobi ialah membasuh, mengering menggosok, dan melipat pakaian. 

Ini amat berbeza sekali dengan pengalaman saya bersama pekerja Indonesia. Mereka boleh menguruskan dobi dengan amat baik sekali. Mereka bukan sahaja menguruskan pakaian pelanggan dengan baik, tetapi mereka juga menjaga kebersihan kedai. Mereka akan menyapu, mengemop, dan membersihkan bilik air tanpa disuruh. Kerja mereka sangat rapi. Apabila menguruskan pekerja tempatan pula, seolah-olah kita yang menjadi kuli mereka, kerana kita pula yang terpaksa membersihkan kedai, Kadang-kadang bila saya buka dobi di waktu pagi, akan ada bau-bau yang tidak menyenangkan. Ini kerana, mereka tinggalkan sahaja plastik-plastik makanan atau minuman yang tidak habis, tanpa membuangnya ke dalam tong sampah. Bilik air juga tidak pernah dicuci. Pakaian pelanggan banyak yang tersilap plastik, dan terlalu banyak panggilan yang saya terima dari pelanggan disebabkan kecuaian pekerja. 

Walaubagaimanapun, saya tidak menafikan yang saya pernah dapat beberapa orang pekerja tempatan secara 'part-time' yang boleh menguruskan dobi dengan amat baik sekali. Ini termasuklah pelajar-pelajar dari UiTM yang bekerja secara part time semasa cuti semester mereka. Saya juga tidak menafikan yang saya pernah ada pekerja Indonesia yang menguruskan dobi dengan sangat teruk. Dia boleh meninggalkan dobi berjam-jam, dalam keadaan kerja yang tak siap. Bukan itu sahaja, apabila saya datang dan pantau kerjanya, dia sedang sibuk main handset, dan kerja yang perlu dibuat sangat bertimbun. Datang kerja lewat, bila telefon tidak diangkat, tengahari baru sampai. Bila ditanya mengapa, jawapannya TERTIDUR!! Saya juga pernah kehilangan pelanggan disebabkan kecuaiannya menggosok. Dia menggosok ala kadar. baju masih berkedut. Bila pelanggan datang semula dan tunjuk kepada saya, pakaian yang digosok itu seolah-olah tak digosok langsung!! Kalau saya yang jadi pelanggan tersebut, semestinya saya tidak akan kembali ke dobi itu. Bukan setakat itu, wang perniagaan juga berkurangan. Ya, ini memang pengalaman yang paling teruk sekali!

Dan kini Alhamdulillah, saya telah ada seorang pekerja sepenuh masa, warga Indonesia, bernama Kohinur. Kerjanya amat memuaskan hati saya. Saya telah pun membuatkan permit Kohinur. Kohinur mula berekrja dengan saya hujung Disember 2012. Dia dapat melakukan kerja-kerja dobi dengan amat baik, hanya selepas diajar sekali sahaja. Februari 2013 saya telah mendaftar untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD, dengan senang hati, kerana saya telah dapat pekerja yang boleh diharap untuk menguruskan dobi. Kini, dobi diuruskan sepenuhnya oleh Kohinur.

Itu sahaja perihal pekerja buat masa ini. Sehingga bertemu kembali.





Kursus Dobi

F2 Laundromate bercadang untuk menjalankan kursus dobi untuk mereka-mereka yang berminat untuk memulakan kursus dobi. Kursus dobi yang akan dijalankan oleh F2 Laundromate adalah lebih kepada kursus praktikal, di mana peserta akan didehkan cara pengurusan pakaian yang dihantar oleh pelanggan dari mula mereka menghantar, proses pengasingan pakaian yang kotor, 'pre wash',  basuh pakaian, melipat, menggosok, dan membungkus.

Tarikh kursus: Dipilih sendiri oleh peserta. Walaubagaimanapun, keutamaan adalah pada hari Jumaat, Sabtu, atau Ahad.
Masa: 10 pagi sehingga 4 petang
Yuran penyertaan: RM150 sehari

Bayaran kursus bolehlah dibayar pada hari kursus. Peserta boleh datang untuk belajar lebih dari sehari, atau sehingga betul-betul mahir. Yuran untuk hari kedua adalah sebanyak RM100. Yuran untuk hari ke3 sehingga hari ke10 adalah sebnaya RM50 sehari. Yuran untuk hari ke10 sehingga hari ke20 adalah sebanyak RM30 sehari. Seterusnya peserta boleh datang dan belajar secara percuma, sehingga mahir.

Walaubagaimanapun, semua proses yang terlibat dalam perniagaan dobi akan ditunjukkan pada hari pertama. Ini termasuklah:-
1. cara menerima dan membuka resit apabila pelanggan menghantar pakaian
2. cara pengasingan pakaian, dan cara tagging pakaian
3. cara membasuh
4. cara mengering
5. cara menggosok
6. cara membungkus

Oleh itu, kursus pada hari kedua dan seterusnya adalah pilihan peserta.

Sekiranya berminat untuk menyertai kursus ini sila hubungi:-
Fatimah:019-7452571
Fathil:012-7917236

Terima kasih

Ebook

Assalamualaikum

Saya bercadang untuk menulis dan menerbitkan Ebook tentang perniagaan dobi ini.

Tajuknya mungkin..'.Perniagaan Dobi: Langkah Demi Langkah' atau 'Rahsia Memulakan Perniagaan Dobi; atau 'Rahsia Kejayaan Perniagaan Dobi'

Erm..tajuknye dan isinya belum di'finalizekan' lagi.
InsyaAlah akan diterbitkan sebelum MAC 2015

Semoga dipermudahkan segala urusan saya dalam penerbitan Ebook ini.



KENAPA DOBI..??

Kenapa saya buat perniagaan dobi?

Ceritanya begini...
Setelah menghantar tesis master saya kepada pemeriksa, saya mempunyai cuti yang sangat panjang. Jadi kami (suami dan saya) bercadang untuk memulakan perniagaan. tapi kami tiada idea untuk perniagaan apa.  Oleh itu suami saya mencari-cari idea di internet. Antara laman web yang selalu suami saya singgah ialah di mudah.com. di ruangan perniagaan untuk dijual, terlalu banyak perniagaan dobi untuk dijual.ada yang murah dan ada yang mahal. Yang murah tu ada yang nak jual dalam 20k sahaja. Yang mahal ada yang sampai 200k. Suami saya pun bagi idea tentang perniagaan dobi ini. saya pun rasa macam menarik. Sebab nampak mudah.Mula-mula tu memang ingat nak beli je perniagaan orang. Tapi macam was-was juga. Lepas tu kami pun buat keputusan untuk pergi ke kursus terlebih dahulu. Kemudian kami 'google' pula kursus dobi. Alhamdulillah, banyak juga kursus dobi yang ditawarkan. Harganya juga tidaklah mahal.

Kami pun mulakan langkah pertama dengan pergi ke Kursus dobi....

Inilah ceritanya...:)

Jumpa lagi...

KURSUS DOBI

Sebelum memulakan perniagaan dobi pada 28 Mei 2012, saya telah terlebih dahulu mengikuti kursus dobi sehari. Yuran penyertaanye adalah RM250.

Apa yang saya dapat dalam kursus dobi ini;-
1. Perkara penting sekali yang saya ingin tahu mengenai kursus dobi ini ialah tentang 'dry-cleaning'. Alhamdulillah melalui kursus ini saya telah mengetahu secara teori apa yang dimaksudkan dengan 'dry-cleaning' dan cara basuhannya.
2. Cara memulakan perniagaan dobi dan susun atur mesin-mesin di kedai dobi.
3. Anggaran kasar modal yang diperlukan
4. Contoh esit dan perkara yang perlu ada dalam resit dobi (terms and condition)
5. teori tentang alangkah-langkah yang sepatutnya dilakukan dari mula pelanggan hantar pakaian sehingga proses pembungkusan pakaian yang telah siap.
6. Jenis-jenis perniagaan dobi
7. Cara memilih lokasi perniagaan

Apa yang saya tidak dapat dalam kursus ini:-
1. Praktikal cara pengendalian dobi.
2. Pengetahuan tentang mesin basuh komersial dan juga mesin basuh industri


Itu sahaja secara kasar apa yang saya dapat dan saya tidak dapat dari kursus dobi yang telah saya sertai. pendapat peribadi saya, apabila kita menyertai sesuatuu kursus, perkara yang paling penting sekali adalah praktikalnya. Ini kerani kadang-kadang teorinya adalah mudah, sedangkan praktikalnya amat rumit. Apabila kita praktikkan perkara itu, barulah kita akan tahu masalah-masalah yang akan dihadapi.

Oleh itu apabila menyertai mana-mana kursus, pastikan kursus itu menawarkan praktikalnya sekali.

Jumpa Lagi..:)

Kepentingan Kursus Dobi

Apabila kita ingin memulakan sesuatu perniagaan, perkara yang paling penting sekali yang perlu ada pada kita ialah ilmu berkenaan perniagaan itu. Oleh itu, kursus dobi adalah sangat penting kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan dobi.

Proses membasuh pakaian di rumah adalah sama sekali tidak sama dengan proses membasuh baju di rumah. Ini kerana, membasuh baju di rumah, kita hanya membasuh baju kita sendiri dan juga baju keluarga kita sahaja. Kita juga tahu fabrik dan kesensitifan semua pakaian kita. Oleh itu proses pengasingan dan mencuci pakaian adalah sangat mudah. Sedangkan di dobi, kita membasuh pakaian ramai pelanggan dan pakaian ini terdiri dari pelbagai fabrik, dengan pelbagai jenis kotoran. Oleh itu proses pengasingan dan pembasuhan adalah sedikit rumit dan memerlukan kemahiran tertentu.

Begitu juga dengan proses menggosok pakaian. Di rumah, kita gosok sendiri pakaian kita, dan kita tahu apa yang kita perlukan. Manakala di dobi, kita akan lihat pelbagai ragam manusia dengan keperluan yang berbeza-beza (ada yang nakkan seluar mereka ber'line' tajam, ada yang mahu kollar keras, ada yang suka pakaian digosok dengan kanji, dan ada juga yang tidak suka, dan bermacam-macam lagi keperluan dan kemahuan yang berbeza-beza). Oleh itu, kursus dobi sangat penting untuk mengetahui cara gosok yang standard.

Selain itu, teknik penggunaan dan penjagaan mesin yang betul juga perlu dipelajari oleh para pengusaha dobi. Lebih-lebih lagi penggunaan dan prosedur mesin 'dry-cleaning' di mana pembasuhan pakaian yang biasa di rumah tidak menggunakan mesin ini. Kepentingan kursus dobi yang lain termasuklah, pengurusan kedai dobi dari mula pelanggan menghantar pakaian sehingga pembungkusan pakaian yang telah siao dicuci dan digosok. Semua ini memerlukan ilmu dan kemahiran.

Oleh itu saya sangat menyarankan kepada semua yang berminat untuk memulakan perniagaan dobi, pergilah kursus terlebih dahulu.

Jika berminat untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh F2 Laundromate, bolehlah hubungi saya;-
Email:  fatimah.rahiman@gmail.com
No telefon: 019-7452571

Khamis, 6 Februari 2014

Tajuk-tajuk

Assalamualaikum..

Berikut saya senaraikan dahulu beberapa tajuk yang terlintas dalam fikiran saya untuk 'entri-entri' akan datang :-

1. Kenapa Dobi?
2. Modal
3. Cabaran-cabaran
4. Jenis-jenis perkhidmatan kami
5. Masalah Pekerja
6. Masalah pelanggan
7. Kursus dobi
8. Rancangan masa depan-rancangan yang berkaitan dengan kedai dobi dan perkhidmatan dobi
9. dan lain-lain


InsyaAllah sehingga bertemu lagi...Wassalam...:)

Rabu, 29 Januari 2014

PENGENALAN

Assalamualaikum wbt

Selamat datang ke blog 'Kedai Dobi Kami (F2 Laundromate)'. Blog ini diwujudkan untuk menceritakan tentang pengalaman kami membuka kedai dobi, yang pahit dan yang manis...termasuklah, permulaan untuk memulakan perniagaan dobi, mesin-mesin yang digunakan, perkhidmatan yang disediakan,  cabaran, tentang pekerja, tentang pelangan, dan lain-lain...

Kedai dobi (F2 Laundromate), yang terletak di Bandar Seri Alam, Masai Johor, telah pun beroperasi selama lebih kurang 20 bulan (setahun 8 bulan). Kami telah lama bercadang untuk menulis blog ini bagi membantu mereka-mereka yang ingin membuka kedai dobi...dan Alhamdulillah hari ini, secara rasminya saya akan mula 'berblog' tentang dobi kami...:).

Dobi F2 Laundromate diusahakan oleh kami suami isteri...dan telah mula beroperasi secara rasminya pada 28 MEI 2012...iaitu pada ulang tahun pertama pertunangan kami..Alhamdulillah...:). Pada mulanya kami hanya usahakannye berdua..tanpa pekerja...dan selepas lebih kurang 2 bulan..barulah kami ambil seorang pekerja. Dan kini kami mepunyai seorang pekerja Indonesia yang berpermit, dan 2 orang lagi tanpa permit..dan sedang berusaha dapatkan permit untuk mereka....

cukup sekadar ini untuk pengenalan..InsyaAllah saya akan ceritakan pengalaman-pengalaman kami pada entri-entri akan datang...

wassalam...:)